Wednesday, July 17, 2013

BAB 8

Aku menapak keluar dari pagar asrama. Surau asrama yang baru siap beberapa bulan yang lalu kelihatan sibuk dengan junior-junior keluar masuk. Biasalah waktu asar begini, solat asar berjemaah sudah menjadi rutin untuk pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga.

Pelajar Tingkatan Empat?Super senior Tingkatan Lima?

Ahaa,untuk super senior tidak diwajibkan ke surau solat berjemaah. Mereka juga tidak perlu turut serta gotong-royong bersihkan laman kamar malah nama mereka tidak dimasukkan ke dalam senarai duti kamar.

Aku tidak tahulah dari mana asal usulnya tradisi asrama yang berat sebelah sebegini. Tradisi yang hanya menguntungkan sebelah pihak yakni super senior manakala ianya kelihatan seperti pemerintahan dictator buat junior.

Apa nak buat? Aku dulu ketika masih lagi bergelar junior pun melalui hal yang sama juga.

Tingkap pondok pengawal di sebelah pintu pagar asrama terbuka luas. Dari jauh pun aku boleh dengar suara gemersik mak cik jaga membaca Al-Quran.

Aku mengerling sekilas.

High pitch…
Aku mendekati pondok pengawal. Mak cik jaga masih lagi mengaji. Mak ai, panjangnya…dari tadi belum habis-habis.

Aku dah tak boleh bersabar lagi.

“Mak cik!” Aku menerjah mak cik jaga melalui tingkap pondok.

“Oi, tergolek! Golek! Golek!”

Aku ketawa mengekek.

Mak cik Romlah keluar dari pondok dan mencubit perutku dengan penuh perasaan. Memang wanita yang kukira sudah berusia lebih sedekat ini takkan bagi muka bila dah dapat tangkap budak-budak yang suka mengusik dia di pondok lebih-lebih lagi aku.

Tahun ini sudah dua tahun dia bekerja di asrama kami dan selama itu jugalah dia menjadi bahan usikan budak-budak asrama.

“Mak cik, sakit! Sudahlah tu.”

Aku merayu dengan muka tiga puluh sen. Tak laku di matanya. Dia mencari-cari pula telingaku yang dilitupi tudung untuk dijadikan mangsa.

“Nak kacau orang tak menyempat. Tak fikir ke orang tengah baca Quran ke, orang tengah buat kerja ke…main redah je budak bertuah ni. Ai,ai.”

Pekikan Mak cik Romlah menarik perhatian Aina dan Nini, anak buah kamar aku. Spontan aku menolak Mak cik Romlah dan dia tersasar ke tepi.

“Aduh! Hah, dia tolak orang tua pulak. Bertuah punya budak.”

Aku ketawa mengekek melihat mukanya yang cuak apabila tubuhnya tidak stabil akibat tolakanku tadi.

“Mak cik, pinjam moto.”

“Nak buat apa?”

“Nak naik.”

Blur.

“Nak pergi mana,anak?” Mak cik Romlah sedikit bengang.

“Oh!” Aku ketawa kecil. Baru mengerti pertanyaannya.

“Emm, saya nak keluar kejap. Nak pergi cari pisang goreng. Teringin.”

Aku sengih melihat mukanya berkedut-kedut menimbangkan permintaanku.

“Alaa, mak cik…kat tepi pagar ni je. Saya boleh carikan mak cik cendol sekali ke. Mak cik kan tengah duti lagi ni, mesti lapar kan? Saya belanja.”

Aku mengangkat sumpah.

“Hang ni banyak akallah, Syapinat oi…kalau dah kaki tu panjang sangat,suka berjalan sana-sini,suka mengidam macam-macam…awat tak duduk luar saja?”

Aku ketawa besar. Mak cik Romlah memang orang Kedah sejatilah. Lidah pekat.

“Mak cik,jangan panggil saya Syapinat lagi. Kalau tak, lepas ni hari-hari saya kacau mak cik.”

Aku ketawa lagi melihat mimik muka Mak cik Romlah yang pura-pura takut dengan ugutanku.
Dia menjeling.

“Habis,nak panggil apa? Dah itu nama hang.”

“Mak cik, pinjam motolah.”

“Tak boleh.” Mak cik Romlah bertegas.

“Bolehlah. Mak cik ni tak supporting betullah.”

“Tak boleh.”

“Mak cik…”

“Nuu…bapak hang dah mai. Hang pi masuk lekas.”

Aku kalih.

Sir Shakir sedang memakir kereta di hadapan surau. Macam mana aku boleh tidak perasan bunyi enjin Kancil lama milik ketua warden itu? Aku cepat-cepat menonong masuk ke dalam asrama.

Perasan malas untuk bertembung dengan lelaki itu samalah rasanya seperti kemalasan aku untuk menolong mak membuat kerja rumah.

Aku masuk ke dalam bilik studi yang separuh daripada penghuninya tidur! Aku membuang tudung dan menyangkutnya di kerusi.

Yang masih belum ‘syahid’ hanyalah Hanna dan Rain yang setia menantiku.

Heh, menanti aku ke?

“Macam mana,dapat?” Hanna merapatiku.

“Dapat apanya, bapak kau dah datang tu. Mak cik Romlah tu pun bukan main liat nak bagi muka kat aku sebab aku kacau dia mengaji tadi.”

“Kau ni tak pandai betullah.”

“Kau pergilah mintak sendiri. Biarlah aku kebulur tak dapat makan pisang goreng daripada aku kena maki berguni-guni dengan orang tua tu. Biarlah, daripada aku kena tangkap dengan bapak kau tu.”

Belum sempat Rain buka mulut, suara Sir Shakir terlebih dahulu mencecah sunyi dalam bilik studi tingkatan lima. Berterabur aku, Rain dan Hanna lari masuk bawah meja kerana kami tidak bertudung. Kawan-kawanku yang ‘syahid’ tadi turut berbuat perkara yang sama kerana terkejut punya pasal.

Satu yang aku bengang dengan orang tua ini ialah dia suka masuk ke dalam bilik studi pelajar dengan melulu. Selalu je kami tertangkap tidak bertudung dengan Sir Shakir. Ini sudah dikira menceroboh privasi pelajar secara halus.

Kan?

Aku dan Hanna mencapai tudung yang disangkut di kerusi dan dengan perlahan-lahan bangun setelah menyarung tudung.

Rain turut berbuat begitu.

Dam kami bertiga serentak menyapanya, “Hai,Sir!”

Aku sengih kelat.

“Syafienas,macam mana studi?”

“Okey je.”

Aku tak ada masa nak beramah mesra dengan orang yang aku tak suka tapi Rain masih lagi boleh bermulut manis.

“Sir dari mana baru datang? Biasanya lepas waktu sekolah Sir dah terpacak dekat depan pagar asrama. Hari ni Sir tak makan sekali dengan kami dekat dewan makan,kan?”

Mataku menjuling memandang siling melihat Sir Shakir ketawa mengekek.

“Saya ada mesyuarat dengan ketua-ketua panitia tadi. Tak sempat nak datang tengah hari, itu yang saya datang petang. Malam nanti saya akan datang lagi,nak pantau budak-budak Tingkatan Tiga dan Lima, betul ke diorang manfaatkan masa prep dengan sebetulnya.”

“Nak pantau masa studi kitorang ke nak kacau privasi kitorang, sir?”

Sir Shakir jatuh rahang mendengar bicara melampau yang keluar dari mulutku. Aku ketawa besar dalam hati. Serkap jarangku mengenalah tu…

“Ish, Syafienas…tak baik kamu cakap macam tu pada saya. Tak menyempat nak minta maaf bila nak ambil exam nanti.”

Aku ketawa kecil.

“Mana lagi tak baik,cakap depan ke cakap belakang,sir?”

“Eh, apa yang bising-bising dekat study room sebelah tu? Saya nak pergi tengok dululah,pukul 6 saya nak balik dah. Okeylah,teruskan ulang kaji ya.”

Aku dan Hanna saling berpandangan.

“Bapak kau…karisma sentiasa mantap.”


Aku senyum sinis.

No comments:

Post a Comment